Langit di luar sudah semakin cerah. Sebentar lagi, akan masuk waktu Subuh. Entah berapa lama aku duduk menelaah di meja belajarku. Kakiku berasa sungguh kebas. Kujenguk jam di tangan, sudah pukul 4:17 pagi. Kepalaku berasa berat. Ah, lebih baik aku curi sedikit masa untuk tidur selepas Subuh nanti! Takut pula aku terlalu letih untuk menduduki peperiksaan nanti.

Aku buka laman web ICCI, www.islamireland.ire untuk pastikan waktu solat. Waktu Subuh akan masuk pada pukul 3:34 pagi. Eh, waktu Asar pula akan masuk pada pukul 5:36 petang! Peperiksaanku akan bermula pada pukul 6:00 petang! Bagaimanakah ini? Apa yang harus aku lakukan? Tapi, waktu Maghrib akan masuk pada pukul 9:15 malam. Oh, kalau begini, sebaik sahaja tamat peperiksaan, aku bergegas pulang dan tunaikan kewajipanku. Insya Allah sempat.

9:26 am
Segala puji bagi Allah. Aku menggeliat sedikit, meregangkan urat-urat di seluruh badan. Di luar sudah cerah, barangkali sudah pukul 8:00 pagi. Sambil tangan kiriku menggosok-gosok mataku, tangan kananku mencapai jam tanganku. Kukerling pada muka jam itu. 9:29 pagi! Alamak! Aku sudah terlewat! Aku merancang untuk tidur sampai pukul 7:00! Sekarang sudah pukul 9:30! Hanya tinggal 8 jam lagi! Aku masih belum baca anatomi lagi! Aku bergegas mencapai tualaku dan terkocoh-kocoh mandi!

12:52 pm
Kepala sudah berat. Perut sudah berbunyi. Hanya untuk menjawab 3 soalan dalam jangka masa 2 jam, aku terpaksa menghabiskan hampir seminggu menelaah buku. Adeh! Zohor akan masuk tidak lama lagi. Tidak apalah, kita berehat sebentar, makan brunch dan solat Zohor dahulu. Sebentar lagi, kita sambung belajar.

3:05 pm
Senyum sinis. Rancangan Family Guy tidaklah selucu yang aku sangkakan. Di luar, cuaca mendung. Barangkali hujan akan turun sebentar lagi. Terpaksalah aku membatalkan niat berbasikal ke RDS. Sekali-sekala naik bas, apalah salahnya.

4:05 pm
Tiada yang sedang menunggu bas. Barangkali aku sudah terlepas bas. Perutku meminta diisi. Aku pun bergerak ke Centra membeli Muffin dan air sebotol. Sekembalinya aku ke tempat menunggu bas, sudah ramai yang sedang menunggu. Masing-masing sedang khusyuk menelaah.

5:48 pm
Dengan Nama-Mu Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Kepada-Mulah kami sembah, kepada-Mulah kami memohon pertolongan dan kepada-Mulah kami dikembalikan. Ya Allah, Kaulah yang menyukai Pengampunan, Ampunilah dosa kami! Ya Allah, Kurniakanlah kepada Kami Kefahaman Para Anbia’, Daya hafazan para mursalin, dan ilham para malaikat muqarrabun! Ya Allah Tuhan kepada sekalian Alam, berikanlah kami kejayaan dalam ujian ini, dan ujian-ujian Mu di dunia dan akhirat!

7:42pm
Alhamdulillah, dapatlah aku menjawab dengan baik. Inilah usaha terbaik dari aku dan aku bertawakal pada-Mu, ya Allah! Muka jam sudah hampir 7:45 pm. Aku fikir aku perlu tambah sedikit penerangan lagi, tapi kalau aku tambah, mungkin tak sempat keluar dewan awal. Ah, kacau betul! Tak apalah, tunggu sebentar sahaja, mudah-mudahan dapat keputusan yang baik.

8:15pm
Alhamdulillah, selesai sudah. Berbual-bual sedikit dengan Amir, dan bergegas pulang. Waktu belum habis lagi. Kulihat langit sudah bertambah gelap dan hujan turun renai-renai.

9:03pm
Masih sempat lagi. Ku menyucikan diriku, dan terus mendirikan solat Maghrib. Allahu akbar!

Selesai solat, aku ke meja belajarku. Aku periksa emelku, dan buka Facebook, kemudian kucapai nota-notaku. Orang-orang lain sudah selesai menduduki semua peperiksaan mereka, tetapi aku masih ada subjek elektifku. Aku pun agak sampah dalam subjek ini, kerana aku rajin ponteng kelas.

Sambil-sambil itu, aku berasa sedikit tidak senang, apa yang tidak kena ya? Jam menunjukkan sudah pukul 9:40 malam. Aku berasa bosan. Aku cari episod “House” terbaru dan mula menonton. Kukerling ke jam tanganku, sudah pukul 9:52 malam. Aku berasakan sesuatu tak kena. Nak kata belum solat Maghrib, aku sudah solat Maghrib….

YA ALLAH! AKU TAK SOLAT ASAR!