
E-mel merupakan satu medium perhubungan yang memainkan peranan yang amat penting dewasa ini. Hampir semua perhubungan melibatkan e-mel. Contoh mudah, perhubungan antara ahli-ahli Lajnah Multimedia PPIMI dan lain-lain. Kini, terdapat ramai pengguna e-mel mengadu bahawa e-mel mereka telah diceroboh. Persoalan yang timbul sekarang, adakah mudah untuk e-mel diceroboh? ATAU adakah sukar untuk melindungi e-mel anda daripada diceroboh? Jawapan untuk kedua-duanya mudah ; semestinya TIDAK! Pencerobohan terhadap e-mel bukan semudah yang disangka sepertimana anda menonton cerita-cerita yang ditayangkan seperti CSI. Begitu juga dengan perlindungan terhadap e-mel anda, tidak sukar.
Jika penyataan di atas betul, mengapa begitu ramai pengguna e-mel kehilangan akaun mereka?
Jawapannya mudah. Mereka tidak tahu untuk melindungi e-mel mereka daripada diceroboh! Malah, kebanyakan yang kehilangan e-mel bukan disebabkan diceroboh oleh penceroboh-penceroboh (hackers) tetapi mereka menjadi mangsa jerat. Mereka terjerat kerana begitu mudah memberi ‘kata laluan’ mereka kepada penjerat-penjerat (trappers).
Pening? Tidak faham? Teruskan meneliti perenggan seterusnya.
Tidak mudah untuk anda memberi kata laluan kepada orang lain. Teman sebilik anda pun anda rahsiakan kata laluan untuk ‘privacy’. Namun, mudah bagi penjerat-penjerat ini mendapatkan kata laluan e-mel anda sekiranya anda tidak mengamalkan sikap berhati-hati. 2 kaedah yang mudah untuk mereka mendapat kata laluan e-mel anda adalah :
1) Laman sesawang palsu (website spoofing)
Laman sesawang palsu yang direka oleh penjerat-penjerat ini adalah sama dengan laman sesawang sebenar, baik dari aspek luarannya mahupun alamat laman sesawang itu (URL link). Tujuan mereka tidak lain dan tidak bukan untuk menjerat pengguna.
Sebagai contoh, laman sesawang palsu Google.com 100% sama seperti laman sesawang Google sebenar. Secara automatic, pengguna yang terjerat memasuki laman sesawang palsu ini akan menaip ‘username’ dan ‘password’ mereka untuk daftar masuk e-mel mereka. Dengan sepantas kilat, data ‘username’ dan ‘password’ tadi diperoleh oleh pereka laman sesawang palsu tersebut, mengakibatkan pengguna tidak dapat lagi menggunakan e-mel mereka.
Penyelesaian :
a. Jangan sesekali daftar masuk e-mel anda melalui laman web palsu.
b. Sentiasa menaip alamat penuh laman sesawang tersebut. Elakkan daripada memilih laman yang tertera ketika menaip kerana boleh mengakibatkan anda memasuki laman sesawang palsu.
2) Perisian peranti (Spy software/Keyloggers)
Ini juga merupakan salah satu kaedah mudah untuk penjerat-penjerat memperolehi kata laluan anda. Seringkali, secara sedar atau tidak, anda memuat turun perisian tanpa memeriksa dengan lebih teliti terhadap perisian yang dimuat turun. Hakikatnya, tidak semua perisian ini selamat untuk dimuat turun dan kebarangkalian untuk anda memuat turun perisian peranti bukannya 0%. AWAS! Sekiranya anda telah memuat turun perisian peranti, anda berada di dalam zon bahaya. Hal ini kerana setiap apa yang anda taip akan direkod melalui perisian peranti berkenaan mengakibatkan e-mel anda berisiko tinggi untuk diceroboh.
Penyelesaian :
Pastikan anda mempunyai perisian anti-peranti dalam komputer anda. Perisian anti-peranti
akan memastikan komputer anda selamat daripada perisian peranti.
Diharap perkongsian ini dapat membantu anda sedikit sebanyak untuk melindungi e-mel anda daripada diceroboh oleh anasir-anasir luar.



