KENYATAAN RASMI SERANGAN REJIM ISRAEL KE ATAS KONVOI LIFE LINE 4 GAZA

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (As –Saff : 11, 12)

Bismillahirrahmanirrahim

Warga Dublin yang dirahmati Allah,

KITA HARI INI dikejutkan lagi dengan berita yang menyedihkan. Bermula dengan siri keganasan Israel meratah Semenanjung Gaza lewat tahun lepas yang mengakibatkan kematian hampir 1500 warganya, misi pembunuhan dayus mujahid Islam Mahmoud Abdel Rauf al-Mabhouh dan kini Israel laknatullah telah menyerang kapal bantuan kemanusian Life Line 4 Gaza.

Sebagaimana yang dimaklumi 7 buah kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sedang belayar menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH). Maklumat terkini ialah kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan laut Israel. Akibat dari tindakan biadap ini 16 orang sukarelawan telah terkorban dan 30 lagi mengalami cedera parah.

Seramai 12 orang sukarelawan bersama-sama petugas media daripada Malaysia turut menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ini. Mereka berada di atas kapal “Mavi Marmara”. Penyertaan mereka bersama konvoi ini adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan.

Dunia hari ini seluruhnya menolak tindakan kejam Israel yang secara biadap telah melanggar undang-undang antarabangsa. Apatah lagi serangan ini berlaku di perairan antarabangsa dan dilakukan ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata yang bertujuan aman. Tindakan Israel menginjak-injak prinsip kemanusiaan ini wajar mendapat kutukan dari seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan.

PPIMI mengutuk sekeras-kerasnya siri kebiadapan yang telah dan sedang dilakukan oleh Israel serta menyeru warganya untuk sama-sama menunjukkan sokongan membantah kebiadapan Israel serta menyatakan sokongan kepada penduduk Palestin yang tertindas. Janganlah pula kita jadikan isu ini mengenai siapa juara yang paling lantang bersuara akan tetapi jadikanlah isu mengenai apa yang boleh kita sumbangkan kepada rakyat Palestin serta ummat Islam seluruhnya. Setiap desakan boleh dibuat, setiap surat boleh ditulis, setiap ancaman boleh dilaungkan akan tetapi desaklah diri kita dulu untuk bertindak agar isu serangan ini tidak malap ditelan masa dan dilupakan. Pada masa yang sama, kita haruslah berjaga-jaga tindak tanduk kita dalam menyatakan bantahan kepada serangan ini. Kita tidak mahu dalam masa kita bersemangat dalam berdemo, menulis, atau pun sebarang jenis aktiviti, ianya mencemarkan imej Islam itu sendiri. Sesungguhnya Islam itu indah dan tidak suka kepada kemusnahan. Maka berhemahlah dalam sebarang tindakan.

Kami menyeru juga agar setiap warga untuk terus berdoa dan mengadakan solat hajat memohon agar Allah SWT menjayakan misi bantuan tersebut dan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada para sukarelawan.

Sekian, Assalamualaikum wrt wbt.

Ahmad Zafrullah Afham Ahmad Fikri
Presiden PPIMI
2010/2011